Friday, July 11, 2008

Persoalan Mengenai Cukai Tanah

SOALAN LAZIM BERKAITAN CUKAI TANAH

1. APAKAH ITU CUKAI TANAH?
Cukai Tanah merupakan cukai yang dikenakan ke atas tanah yang mempunyai hakmilik yang terdapat dalam sesebuah daerah dan hendaklah dibayar kepada Kerajaan Negeri pada tiap - tiap tahun.

2. SIAPAKAH BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MENJELASKAN CUKAI TANAH?
Pemilik tanah, orang atau badan berkepentingan bertanggungjawab untuk membayar cukai tanah bagi hakmilik masing - masing.

3. BAGAIMANAKAH CUKAI TANAH DITENTUKAN?

Cukai ditentukan mengikut:
  • Kegunaan Tanah: Kediaman,Perusahaan,Perniagaan,Pertanian,
  • Taraf Tanah: Mukim,Pekan,Bandar
  • Kedudukan tanah
  • Keluasan tanah
  • Dalam atau luar kawasan Rezab Melayu - DESA

4. BOLEHKAH CUKAI TANAH DIBAYAR SECARA ANSURAN?

Tidak. Cukai tanah hendaklah dibayar sepenuhnya mengikut jumlah yang dinyatakan di dalam bil.


5. BOLEHKAH BAYARAN TUNGGAKAN CUKAI SAHAJA DIJELASKAN PADA BIL CUKAI TAHUN SEMASA?

Tidak. Bayaran hendaklah dijelaskan bagi tunggakan cukai dan cukai semasa seperti yang dinyatakan di dalam bil.

6. ADAKAH CUKAI TANAH BOLEH DIBAYAR MENGIKUT BAHAGIAN PEMILIK SAHAJA, BAGI TANAH PERKONGSIAN?

Tidak. Cukai Tanah dikenakan mengikut keluasan yang dinyatakan di dalam hakmilik.

7. ADAKAH BIL CUKAI DIKELUARKAN KEPADA SETIAP PEMILIK YANG BERKONGSI TANAH?

Tidak. Hanya satu bil cukai akan dikeluarkan bagi satu hakmilik.

8. ADAKAH CUKAI TIDAK PERLU DIBAYAR SEKIRANYA PEMILIK TIDAK MENERIMA BIL?

Cukai Tanah hendaklah dibayar walaupun pemilik tidak menerima bil. Mereka boleh menghubungi atau datang terus ke kaunter Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dan kaunter di Majlis Perbandaran Nilai untuk mendapatkan bil tersebut.

9. BAGAIMANA PULA DENGAN PEMILIK YANG TELAH BERTUKAR ALAMAT?

Pemilik tanah dikehendaki memaklumkan ke kaunter hasil mengenai pertukaran alamat supaya bil dapat dihantar mengikut alamat terkini.

10. ADAKAH PEMILIK MENDAPAT PENGECUALIAN DARIPADA MEMBAYAR DENDA LEWAT SEKIRANYA MEREKA MENERIMA BIL SELEPAS 31 MEI?

Denda lewat akan dikenakan kepada pembayar yang membuat pembayaran cukai tanah selepas 31 Mei. Sekiranya pemilik tidak menerima bil, mereka dikehendaki mendapatkannya di kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dan kaunter di Majlis Perbandaran Nilai jika tidak mahu dikenakan denda lewat.

11. APA ITU NOTIS CUKAI TANAH ( BORANG 6A )?

Notis cukai tanah dikenali sebagai NOTIS 6A adalah notis tuntutan yang dikeluarkan kepada orang atau badan berkepentingan kerana cukai tidak dibayar selepas 31 Mei supaya menjelaskan bayaran yang dituntut.

12. BERAPA LAMAKAH TEMPOH NOTIS ITU?

Sekiranya pemilik telah menerima Notis 6A, mereka hendaklah menjelaskan bayaran yang dituntut dengan segera dalam tempoh tidak lebih 3 bulan.

13. ADAKAH KERAJAAN AKAN MEMBAYAR APA - APA PAMPASAN SETELAH TANAH TERSEBUT DIRAMPAS?

Tanah kembali dan terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri tanpa dibayar apa - apa pampasan.

14. APAKAH KESAN - KESAN DARIPADA PERAMPASAN KE ATAS TANAH?

a) Tanah tersebut akan menjadi Tanah Kerajaan.

b) Hakmilik tanah tidak sah dan tidak boleh digunakan.

c) Bebas dan dilepaskan dari segala tangggungan yang sedia ada atau yang akan timbul.

d) Apa - apa bangunan yang wujud atas tanah adalah terletak kepada Pihak Berkuasa Negeri


15.Bilakah bil cukai tanah dihantar?


Bil akan dihantar mulai 2 Januari sehingga 31 Januari. Bil dihantar menggunakan pos dan bagi Pejabat Tanah Seremban, bil dihantar mengikut mukim. Bil bagi syarikat,ladang dan penempatan berkelompok dihantar pada dua minggu terakhir bulan Januari. Ini untuk memudahkan kami mengesan bil yang tidak sampai.


16.Bagaimana jika bil tidak sampai? Adakah saya masih perlu membayar cukai?


Anda masih perlu menjelaskan cukai anda walaupun tidak mendapat bil cukai tanah. Jika anda masih tidak mendapat bil cukai selepas minggu kedua bulan Januari, sila hubungi Unit Hasil Pejabat Tanah (06-6032200 sam 226/227). Kami akan mengirimkan bil yang baru secepat mungkin.


17.Bagaimana jika saya berpindah atau bertukar alamat?
Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memaklumkan kami tentang pertukaran alamat. Tanggungjawab ini telah digariskan dalam Kanun Tanah Negara 1965. Ini boleh membantu kami menghantar bil ke alamat yang betul dan juga untuk memudahkan anda jika ada sebarang urusan lain di Pejabat ini.


18.Bagaimana jika saya dapati alamat pada bil salah/kurang tepat?
Sila maklumkan pihak kami dengan segera. Kami akan membetulkannya dan melakukan pembetulan bagi semua dokumen, termasuk geran tanah.


19.Saya dapati maklumat pada bil berlainan dengan rekod/geran tanah yang saya miliki. Bagaimana saya dapat memastikannya?
Sila maklumkan pihak kami dengan segera. Kami akan melakukan semakan dan memaklumkan semula kepada pihak anda dengan secepat mungkin. Jika ada pembetulan, kami akan membetulkannya.


20.Bagaimana saya boleh tahu jika saya dikenakan Notis Tuntutan Terhutang (Notis 6A)?

Saya mempunyai tunggakan cukai tanah sebelum ini. Saya bimbang jika Kerajaan merampas tanah saya disebabkan cukai bertunggak. Pihak kami akan menghantar surat peringatan yang menunjukkan tanah hakmilik anda sedang disenaraikan untuk perampasan. Jika anda tidak menjelaskan jumlah tunggakan selepas 30 hari, kami akan meneruskan prosedur perampasan. Jika anda telah menjelaskannya, sila hadir sendiri atau hubungi pihak kami untuk kami keluarkan nama anda dari senarai perampasan tersebut.

No comments: