Friday, October 31, 2008

Cuba semak, mana tahu anda mewarisi tanah di NS

Cuba semak, mana tahu anda mewarisi tanah di NS - sumber Syarak Mengata , Adat Menurut (http://waghih.blogspot.com)

Di N.Sembilan ini begitu banyak tanah terbiar, terutamanya tanah adat. Bukan setakat tanah yang terbiar, malahan rumah banglo beratap genting yang tersergam indah pun banyak terbiar di N.Sembilan ini. Berlainan dengan negeri di pantai timur seperti Terengganu. Setiap tanah akan dibahagi-bahagikan kepada anak beranak untuk dibuat tapak rumah. Itu adalah hakikatnya.Tanyalah orang N.Sembilan siapa yang nak buat rumah di tanah adat ? Rata-ratanya menolak untuk membuat rumah atau mengusahakan tanah adat , termasuk golongan wanita seperti ibu dan kakak saya, menyebabkan tanah adat di N.Sembilan ini hampir tiada nilai. Akibatnya banyaklah tanah dan rumah terbiar di negeri beradat ini.Akibat dari itu kemungkinan besar banyak cukai-cukai tanah yang tidak berbayar, dan kemungkinan besar akan dirampas oleh kerajaan negeri.Kini kita boleh semak secara online di Pejabat Tanah Negeri Sembilan samada kita atau saudara mara kita , terutama datuk nenek kita samada mereka mempunyai tunggakan cukai tanah yang belum dibayar.Laman web Pejabat Tanah Negeri Sembilan ini http://ptgns.ns.gov.my/qry_cukai_kp.php dan Pejabat Tanah Seremban ini http://cukaitanahseremban.blogspot.com memberikan begitu banyak informasi yang berfaedah untuk kita semua. Cubalah tengok, mana tahu kita mewarisi tanah ratusan hektar bernilai jutaan ringgit menunggu masa untuk dirampas.

Pejabat Tanah Dan Galian Diminta Kaji Semula Status Tanah - sumber BERNAMA

SEREMBAN, 2 Jan (Bernama) -- Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Sembilan diminta supaya mengkaji semula status tanah di semua kawasan bandar bagi mengelakkan pemiliknya dibebani bayaran cukai tanah yang tinggi.Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ramai pemilik tanah mengadu kerana mereka dikehendaki membayar cukai tanah yang tinggi berikutan tanahnya yang ditulis tidak berstatus pada geran ditukar secara automatik kepada berstatus perniagaan."Masalah itu berlaku berikutan peraturan baru dalam Kanun Tanah Negara yang mahu setiap tanah di kawasan bandar diklafikasikan sama ada berstatus pertanian, kediaman, perniagaan atau perindustrian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.Katanya PTG perlu memeriksa semula status semua tanah terbabit memandangkan tidak semua tanah di kawasan bandar berstatus perniagaan kerana ada yang kosong kerana tidak dibangunkan, berstatus kediaman, pertanian dan perindustrian."Jadi, adalah tidak adil sekiranya mereka turut dikenakan cukai tanah dengan bayaran status perniagaan sedangkan tanah mereka berstatus kediaman dan tanah kosong kerana tidak dibangunkan" katanya.Sehubungan itu, katanya pegawai PTG diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara mereka dalam menilai status tanah yang diperiksa sebelum mengemukakan laporan kepada Exco untuk kelulusan.

-- BERNAMA